[DBP] Abdullah Hassan : Demi Memandaikan Bangsa oleh Salinah Ja'afar [RAK 09/ 808]
Biografi Abdullah Hassan ini merupakan buku yang dihasilkan melalui projek Siri Pemikiran Tokoh Bahasa Melayu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Projek ini bertujuan untuk merakamkan dan menghargai jasa tokoh bahasa yang memberikan sumbangan kepada pemerkasaan bahasa Melayu di negara ini.
Buku Abdullah Hassan: Demi Memandaikan Bangsa ini mengandungi lima bab yang berkisar tentang sejarah hidup, pengalaman, hasil sumbangan dan jasa, serta pemikiran dan pandangan Abdullah Hassan terhadap dunia ilmu yang berkaitan dengan bahasa Melayu dan juga bahasa-bahasa serumpun. Sejarah hidupnya yang bermula sebagai anak desa sehinggalah diangkat sebagai Profesor Emeritus banyak memberikan pengajaran dan pedoman kepada generasi pada hari ini. Perjalanan akademik beliau bagi menyebarkan ilmu kebahasaan di dalam dan luar negara amatlah bermakna. Pandangan dan pemikiran beliau yang sentiasa peka akan peristiwa dan kebijaksanaan tokoh ilmuwan seluruh dunia juga memberikan idea yang menarik untuk didalami dan dikaji. Pandangan dunia yang begitu meluas dengan harapan yang begitu tinggi demi memandaikan bangsa menjadikan bellau seorang tokoh yang disegani dan dihormati, bukan sahaja dalam kalangan anak didiknya, bahkan juga dalam kalangan tokoh bahasa di dalam dan luar negara. Buku ini sesuai untuk bacaan dan rujukan semua golongan yang berminat untuk mengkaji bahasa dan pemikiran tokoh ilmuwan bahasa Melayu.