[KARYA AGUNG] SAYR AL-SALIKIN (JILID I, II, III, IV) [RAK 01]
Sayr al-Sālikīn Ilā ‘Ibādati Rabbi al-‘ālamīn bermaksud perjalanan orang yang menuju kepada beribadat terhadap Tuhan seru sekalian alam, karya Sheikh ‘Abdul Samad al-Palembani, satu-satu karya tersohor dalam bidang ilmu tasawwuf yang pernah wujud di rantau Alam Melayu. Seperkara yang harus disebutkan ialah mengenai catatan pengarang mengatakan bahawa Sayr al-Sālikīn adalah usaha terjemahan daripada Lubab Ihyā ‘Ulumu al-Dīn Imam al-Ghazali. Namun setelah diteliti seluruh manuskrip berjumlah 2796 halaman oleh para pengkaji, ternyata ia bukanlah sebuah karya terjemahan. Sebaliknya ia merupakan karangan ‘Abdul Samad sendiri , kerana terdapat di dalamnya sentesis idea yang diperoleh daripada pelbagai karya tasawwuf para ‘ulamak sufi serta adaptasi, penambahan dan penyesuaian selaras dengan realiti budaya setempat. Sayr al-Sālikīn terdiri daripada empat juzuk (juzuk pertama 5 bab, juzuk kedua 8 bab, juzuk ketiga 10 bab dan juzuk keempat 10 bab) merangkumi aspek ilmu, akidah. ibadah dan akhlak , dibahas menurut pendekatan tasawwuf: yakni perkara-perkara muhlikāt (yang membinasakan) dan munjiyāt (yang menyelamatkan). Kesimpulan yang dapat diperkatakan mengenai Sayr al-Sālikīn adalah selain daripada khazanah ilmu yang disumbangkan dalam korpus bidang tasawwuf, ia juga berperanan mengembalikan keabsahan waḥdat al-wujūd sesuai dengan tasawwuf sunni yang menjadi pegangan pemikiran kesufian dan amalan umat Islam di rantau alam Melayu.