
Jejak Seni Johan Jaaffar: Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Berhad (KN) (RAK 77)
Buku ini memaparkan pengalaman luar biasa seorang insan seni yang bermula sebagai penarik tirai bangsawan hingga menjadi pengerusi syarikat media terbesar negara. Ini merupakan kisah seorang karyawan yang dicorakkan oleh pengalaman awal membesar di sebuah kampung kecil-Sungai Balang Besar, Muar, Johor-yang walaupun terpinggir tetapi kaya dengan adat resam dan tradisi kesenian.
Johan Jaaffar pergi ke sekolah Inggeris - Peserian Primary English School - pada tahun 1960 dengan hanya berbekalkan tiga perkataan Inggeris. Beliau akhirnya menjadi penulis terkenal dan wartawan yang disegani, malah pernah memimpin syarikat Utusan Melayu-yang dianggap suara keramat orang Melayu selama lebih enam tahun (1992-1998).
Johan juga dikenali sebagai tokoh korporat, menjadi ahli lembaga pengarah beberapa buah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia selain menjadi Pengerusi Media Prima Berhad (MPB), syarikat raksasa yang mempunyai rangkaian stesen TV, radio dan akhbar selain terlibat dalam penerbitan kandungan kreatif, iklan luar dan pendapatan melalui talian. Beliau sendiri terlibat dalam perniagaan, mengasaskan antara lain Sekolah Persendirian Sri Nobel dan menjadi pengerusinya. Namun beliau lebih dikenali sebagai penulis dan budayawan. Beliau memenangi Hadiah Karya Sastera (Hadiah Sastera Perdana) dalam tiga kategori berbeza- drama adaptasi, drama asli dan cerpen. Beliau menulis novel, cerpen, esei, rencana, kritikan dan pojok selain membuat pemberita sebagai wartawan. Akan tetapi dalam bidang senilah beliau lebih dikenali. Sejak di sekolah rendah, beliau bukan sahaja terdedah kepada teater tradisi masyarakat Jawa di kampungnya tetapi juga menerima kedatangan "funfair" bersama Wak Ular dan anak-anaknya dan kemudiannya kumpulan bangsawan Bintang Timur Opera milik Bakar M.
Buku ini secara jujur menggalurkan pembabitan beliau di belakang pentas bangsawan, kemudiannya terlibat dengan kumpulan sandiwara kampung yang terdiri di atas.